Ahad, 16 Januari 2022 | 2:49pm

Lelaki parah ditetak bekas menantu

AMPANG: Tertekan kerana sering didesak membayar ganti rugi, dipercayai mendorong seorang lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya dalam kejadian di sebuah kedai makan dekat Pandan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 11 malam tadi.

"Siasatan di lokasi mendapati mangsa yang juga warga asing berusia 51 tahun, didatangi suspek yang juga bekas menantunya berusia 25 tahun.

"Suspek dipercayai membawa parang lalu terus menetak mangsa beberapa kali di badan menyebabkan kecederaan bahagian belakang kepala, pipi sebelah kiri dan lengan kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selepas kejadian itu, suspek bertindak melarikan diri dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

"Berdasarkan siasatan awal, berlaku satu perselisihan dan masalah keluarga di antara suspek dengan anak mangsa. Susulan masalah itu, suspek bersetuju memberi wang sebanyak RM1,500 kepada mangsa sebagai ganti rugi," katanya.

Difahamkan, desakan supaya suspek membayar wang berkenaan menyebabkan dia terbabit hilang sabar dan bertindak menetak mangsa.

Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan kini berada di Zon Kuning Hospital Ampang dan dilaporkan dalam keadaan stabil, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X