Jumaat, 14 Januari 2022 | 3:48pm
Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang. - Foto hiasan NSTP
Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang. - Foto hiasan NSTP

Suspek bunuh direman tujuh hari

IPOH: Dua suspek kes culik dan bunuh seorang lelaki tahun lalu yang mayatnya dijumpai dibungkus dengan kanvas, dan ditanam di kebun kelapa sawit di Bidor, Tapah, kelmarin, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata Mahkamah Majistret Tapah membenarkan permohonan polis untuk penahanan reman suspek sehingga 20 Januari ini, untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan oleh Yang Arif Majistret Mahkamah Tapah selama tujuh hari bermula 14 Januari, sehingga 20 Januari.

"Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Mior Faridalathrash berkata, suspek kedua kes berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas di Taiping, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Ini selepas penahanan suspek pertama juga seorang lelaki berusia 30 yang dilakukan pada Selasa lalu, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor.

Beliau berkata, tempoh reman empat hari bagi suspek pertama yang bermula Selasa lalu bagi disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah, berakhir hari ini.

"Kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik. Mangsa berserta suspek bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit," katanya.

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati kematian mangsa berusia 29 tahun itu berpunca daripada luka tumpul serta luka tajam pelbagai.

Menurutnya, mangsa dibunuh sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan mayat mangsa juga ditemui dalam keadaan sudah reput.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang di antara mangsa dan suspek.

Berita Harian X