Khamis, 13 Januari 2022 | 1:55pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tiga anggota Balai Polis Ampang ditahan kerana pemerasan

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan untuk siasatan kerana disyaki terbabit dalam kejadian memeras seorang lelaki di tepi jalan Persiaran dan Dataran Pandan Prima, Ampang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata ketiga-tiganya yang berusia antara 36 hingga 44 tahun bertugas di Balai Polis Ampang itu, ditahan pada jam 2 petang semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 30 tahun yang juga ejen penjual kenderaan sedang memandu kereta di laluan itu pada jam 11.30 pagi sebelum ditahan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Ampang.

"Suspek membuat pemeriksaan terhadap telefon mangsa dan mendakwa lelaki itu mempunyai kesalahan atas pemilikan sesuatu dokumen.

"Anggota itu kemudian meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah itu. Akibat takut, mangsa menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek mengesan mangsa dan membuat pemerasan dengan meminta wang sebagai jaminan tiada penahanan akan dilakukan.

"Usaha mengesan suspek yang masih bebas terutama pemilik akaun itu masih diteruskan. Soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas pembabitan kes ini dan kes lain yang mempunyai modus operandi sama," katanya.

Semua suspek berkhidmat sebagai anggota polis melebihi 10 tahun didapati tiada rekod dadah serta tatatertib dan direman empat hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kes jenayah.

"Kita sentiasa bersikap adil dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit.

"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kes seumpama ini diminta tampil untuk membuat laporan polis," katanya.

Berita Harian X