Rabu, 12 Januari 2022 | 1:08pm
Keadaan motosikal pelajar SMA Padang Tengku, Ahmad Majidi Eswady yang maut dalam perjalanan ke sekolah selepas bertembung dengan sebuah pikap di KM 23, Jalan Lipis-Merapoh, berhampiran Kechau pagi ini. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal pelajar SMA Padang Tengku, Ahmad Majidi Eswady yang maut dalam perjalanan ke sekolah selepas bertembung dengan sebuah pikap di KM 23, Jalan Lipis-Merapoh, berhampiran Kechau pagi ini. - Foto ihsan PDRM

Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah

LIPIS: Seorang pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung sebuah pikap di KM 23, Jalan Lipis-Merapoh, berhampiran Kechau pada jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa Ahmad Majidi Eswady, 19, yang menunggang motosikal Modenas Kriss milik bapanya maut di tempat kejadian kerana parah di kepala dan dada.

Katanya, mangsa yang tinggal di Rumah LKNP, Padang Tengku dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Mitsubishi Triton yang datang dari arah Lipis-Merapoh hendak ke kilang kayu, Kechau.

"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Mitsubishi Triton gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan," katanya.

Beliau berkata, ketika itu pandangan agak terhad kerana keadaan berkabus.

"Pemandu Mitsubishi Triton yang cedera di kepala dan kaki dikejarkan ke Hospital Lipis," katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X