Isnin, 10 Januari 2022 | 11:05am
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Pemandu Civic rempuh empat kereta ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kereta Honda Civic yang menyebabkan kemalangan dengan empat kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Jalan Gombak menghala Jalan Genting Klang di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata kejadian jam 8.20 malam apabila kereta dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah PROTON Saga dan PERODUA Myvi serta dua PERODUA Bezza.

"Siasatan awal mendapati Honda Civic itu dipandu di lorong paling kanan sebelum dikatakan hilang kawalan lalu merempuh empat kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum terbalik. Bagaimanapun, semua pemandu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis untuk ujian saringan air kencing sebelum keputusan didapati negatif dan kes nahas berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga membahayakan pengguna lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.

Berita Harian X