Jumaat, 7 Januari 2022 | 9:13pm

4 sekeluarga termasuk dua budak cedera dirempuh kereta

JOHOR BAHRU: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Superintendan Lim Jit Huey, berkata kejadian jam 6 petang itu membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.

Ketika kejadian, semua yang terbabit dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal bersama isteri serta dua anaknya cedera dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Sementara itu, pemandu kereta pula tidak cedera dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian di Balai Polis Trafik JBS pada jam 6.53 petang hari yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu katanya, polis memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan itu.

Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak ke jalan.

Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian itu. – BERNAMA

Berita Harian X