Khamis, 6 Januari 2022 | 4:14pm
Antara dadah yang dirampas. - Foto PDRM
Antara dadah yang dirampas. - Foto PDRM

2 ditahan, dadah RM333,282 dirampas

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM333,282 selepas menahan dua lelaki di unit kediaman kondominium di Bukit Serdang, Seri Kembangan, yang dijadikan stor dan tempat memproses cecair bahan terlarang berkenaan.

Sepasukan anggota menahan suspek berusia 24 dan 63 tahun pada Ahad lalu kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah, menerusi Ops Catrina hasil maklumat serta risikan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah, berkata hasil tangkapan, pihaknya merampas 309 botol cecair methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan isi padu 114,750 mililiter (ml) bernilai RM40,170.

Turut dirampas, 5.5 kilogram (kg) serbuk MDMA (RM275,500),120 pil ekstasi (48.66 gram/RM2,430), 40 pil Erimin 5 (10.1 gram/ RM757, ganja (38.3 gram/ RM1,915) serta ketamin (83.4 gram/ RM12,510).

"Jumlah dadah dirampas boleh dibekalkan untuk seramai 14,345 pengguna dan akan dijual kepada pelanggan pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur serta Selangor.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket ini beroperasi sejak sebulan lalu dan menggunakan kediaman di kondominium dengan kawalan keselamatan ketat bertujuan mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek direman tujuh hari hingga Ahad ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menyalurkannya kepada JSJN Kuala Lumpur menerusi WhatsApp di talian 012-2087222 yang beroperasi 24 jam sehari.

Berita Harian X