Rabu, 5 Januari 2022 | 1:37pm
Van dinaiki tiga beranak terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28.6 Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, pagi tadi. Che Idris (gambar) meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Van dinaiki tiga beranak terbabit dalam kemalangan di Kilometer 28.6 Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, pagi tadi. Che Idris (gambar) meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto NSTP/Rosli Ilham

Peniaga sayur maut, isteri dan anak cedera

DUNGUN: Seorang peniaga sayur maut, manakala isteri dan anak lelakinya cedera apabila van dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer

28.6 Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi berhampiran persimpangan lampu isyarat ke Plaza Tol Bukit Besi itu, Che Idris Jusoh, 70, maut di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Nurul Syafiqah, 26, dan anaknya, Muhammad Adha berusia lima tahun mengalami kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler membawa muatan besi buruk dari arah plaza tol itu berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke arah Bukit Besi.

Ketika membelok, kepala treler berkenaan dikatakan terpisah menyebabkan bahagian belakangnya terjatuh, sebelum dirempuh van dinaiki tiga beranak itu yang dikatakan tidak sempat mengelak.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian treler berkenaan dalam perjalanan ke Gebeng, Kuantan, manakala van dinaiki mangsa menuju ke pasar Dungun.

"Mayat dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.58 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati pemandu van itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya cedera akibat tersepit di bahagian depan kenderaan. Anak lelaki mangsa pula sudah dibawa keluar oleh orang awam.

"Anggota bomba mengambil tempoh selama 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Dungun," katanya.

Berita Harian X