Rabu, 29 Disember 2021 | 8:37pm
Gambar tular tiga kanak-kanak yang mengeluarkan separuh badan di tingkap penumpang ketika kenderaan sedang bergerak. - Foto Google
Gambar tular tiga kanak-kanak yang mengeluarkan separuh badan di tingkap penumpang ketika kenderaan sedang bergerak. - Foto Google

Pemandu ditahan 3 budak keluar badan tingkap kereta

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki memandu kereta dinaiki tiga kanak-kanak yang mengeluarkan separuh badan di tingkap penumpang ketika kenderaan sedang bergerak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya membuka kertas siasatan kes itu selepas menerima laporan pada jam 5.58 petang semalam, berhubung video tular memaparkan kejadian dimuat naik pengguna Facebook dikenali dashcam owners Malaysia.

"Kita menahan pemandu Perodua Alza berusia 34 tahun mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

"Tingkah laku kanak-kanak berkenaan adalah tindakan amat berbahaya.

"Ia boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa, keselamatan diri dan orang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid menasihatkan golongan dewasa supaya sentiasa mengawal dan memantau keselamatan kanak-kanak bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-515 6933 atau balai polis berdekatan.

Berita Harian X