Ahad, 26 Disember 2021 | 2:12pm
Polis Bentong akan melakukan siasatan terhadap anggotanya yang bertugas di kaunter aduan khas polis di Medan Selera Karak. - Foto Ihsan IPD Bentong
Polis Bentong akan melakukan siasatan terhadap anggotanya yang bertugas di kaunter aduan khas polis di Medan Selera Karak. - Foto Ihsan IPD Bentong

Polis siasat anggota bertugas di kaunter aduan khas

BENTONG: Polis Daerah Bentong akan melakukan siasatan terhadap anggotanya yang bertugas di kaunter aduan khas polis di Medan Selera Karak, di sini.

Ia susulan timbul ketidakpuasan hati orang ramai terhadap anggota terbabit seperti yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar, berkata kes itu akan disiasat sepenuhnya dan tindakan yang bersesuaian akan diambil ke atas petugas terbabit sekiranya dakwaan itu benar.

Beliau berkata, pihaknya prihatin terhadap kesukaran dihadapi mangsa banjir yang melanda daerah Bentong, baru-baru ini.

"IPD Bentong telah membuka enam kaunter aduan khas di enam lokasi dan sehingga kini sebanyak 3,107 laporan polis secara manual diterima.

"Walaupun, semua langkah telah diambil untuk memberi keselesaan dalam memudahkan orang ramai membuat laporan polis, terdapat insiden yang di luar kawalan PDRM.

"Ini disebabkan sikap segelintir petugas yang mungkin terbawa-bawa emosi dengan keadaan dalam suasana menangani keluhan dan kesusahan yang menimpa masyarakat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zaiham meminta orang ramai yang terbabit dalam insiden itu diminta berkerjasama tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong di talian 09-222 2222.

Berita Harian X