Khamis, 23 Disember 2021 | 10:58pm

Operator kilang rempuh kereta pegawai polis, pesara tentera

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja kilang cedera kaki kanan walaupun kereta dipandunya berpusing dan merempuh beberapa kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 56.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam, lelaki berusia 24 tahun berkenaan memandu Honda Civic dan datang dari arah Taman Ria menghala ke Pekan Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berkenaan yang bergerak di lorong tengah hilang kawalan dan merempuh Honda City dinaiki seorang pegawai polis lelaki berusia 39 tahun bersama anak lelakinya berusia lima tahun.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu operator kilang terbabit berpusing dan merempuh pula Proton Savvy dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pesara tentera.

"Akibatnya, kereta dipandu pesara tentera terbabit terlajak dan terlanggar motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Selain pekerja kilang itu, seorang lelaki yang juga penumpang keretanya berusia 25 tahun cedera kaki kanan, anak pegawai polis juga cedera kaki kanan serta mulut dan pengawal keselamatan cedera kaki kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian semua kenderaan terbabit dari arah sama dan sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kanan menuju Lagenda Height.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (A)J) 1987.

"Semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu remuk di bahagian hadapan dan belakang dan kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Adzli berkata, hasil siasatan awal juga mendapati pemandu Honda Civic yang juga pekerja kilang itu tidak mempunyai lesen memandu.

Kemalangan terbabit tular di media sosial apabila video berdurasi seminit itudirakam kamera 'dashcam' milik pengguna jalan raya.

Berita Harian X