Rabu, 22 Disember 2021 | 5:29pm
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas termasuk wang tunai pada sidang media di IPD Cheras. - Foto OWEE AH CHUN
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas termasuk wang tunai pada sidang media di IPD Cheras. - Foto OWEE AH CHUN

Penjawat awam antara individu ditahan samun RM1.13 juta

KUALA LUMPUR: Empat penjawat awam antara lapan lelaki yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian samun wang tunai berjumlah RM1.13 juta di Jalan Chan Sow Lin, di sini, pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan disamun sekumpulan lelaki menaiki motosikal bersenjatakan pistol jam 7.48 malam pada 14 Disember lalu.

Katanya, menurut pengadu berusia 22 tahun, dia bersama rakannya menjalankan transaksi penjualan satu jam tangan berjenama milik majikannya.

"Selepas transaksi itu selesai, pengadu bersama rakannya menuju ke tempat letak kenderaan di sebuah bangunan di Jalan Chan Show Lin untuk mengira wang tunai yang diterima daripada pembeli.

"Ketika di lokasi, kenderaan mereka ditahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang memakai ves polis serta dua motosikal dinaiki dua lelaki sebelum suspek mengacu pistol dan memperkenalkan diri sebagai polis.

"Suspek kemudian menggeledah kenderaan dinaiki pengadu dan rakannya sebelum merampas wang tunai berjumlah RM1.13 juta.

"Malah, suspek sempat mengarahkan pengadu pergi ke Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut dengan mengekori suspek sebelum mereka (suspek) menghilangkan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan lapan lelaki berusia antara 22 hingga 42 tahun termasuk pengadu dan rakannya dalam serbuan berasingan antara 15 hingga 17 Disember lalu di sekitar pusat bandar ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pemandu, seorang pengawal peribadi, seorang penghantar barang dan empat penjawat awam.

"Dalam serbuan itu, kami merampas sepucuk pistol, dua motosikal, dua kereta, wang tunai berjumlah RM716,800 serta beberapa barangan yang dipercayai dibeli suspek berjumlah RM223,460.

"Malah, seorang daripada suspek berusia 43 tahun dipercayai menggunakan wang berkenaan bagi melunaskan baki bayaran penuh kereta Honda Civic miliknya berjumlah RM90,970.

"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat komplot 'orang dalam' yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati semua suspek berkenaan negatif dadah.

"Semakan mendapati seorang daripada lapan suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dan dadah.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Berita Harian X