Rabu, 15 Disember 2021 | 3:41pm
 Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. - NSTP/ FAIZ ANUAR
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. - NSTP/ FAIZ ANUAR

Geng Dubuk lakukan 20 kes samun, ragut tumpas

KLANG: Sekumpulan empat penjenayah yang biasanya menyamun dan meragut mangsa bergerak secara sendirian terutama wanita ditahan polis pada 9 Disember lalu.

Kumpulan dikenali sebagai Geng Dubuk Samun Ragut itu dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah samun jalanan di sekitar kawasan Klang Selatan sejak Julai lalu, kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis dibuat seorang daripada mangsa lelaki berumur 55 tahun yang diragut pada 25 September lalu.

Beliau berkata, mangsa yang berjalan seorang diri di Lorong Resak, Taman Palm Grove di sini, didatangi dua lelaki menaiki motosikal dari arah belakang lalu meragut beg sandang di bahu kanannya sebelum melarikan diri.

"Susulan maklumat itu, polis berjaya menahan empat suspek lelaki tempatan di sekitar daerah Klang dan merampas empat unit telefon bimbit serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang disyaki dicuri.

"Semakan mendapati, semua tangkapan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Hoong Fong berkata, kumpulan dikenali sebagai Geng Dubuk Samun Ragut itu dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah samun jalanan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan sejak Julai lalu.

"Semakan lanjut mendapati suspek juga pernah ditangkap atas kesalahan jenayah sama pada 2017 dan diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh Polis Klang Selatan.

"Suspek juga diletakkan di bawah pengawasan polis di Balai Polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang selama dua tahun bermula 1 November 2017 hingga 31 Oktober 2019," katanya.

Beliau berkata, pengakuan awal semua tangkapan terbabit dalam 20 kes samun dan ragut sekitar kawasan pentadbiran IPD Klang Selatan yang dilakukan secara berkumpulan serta individu.

"Semua suspek lelaki berumur 26 hingga 42 tahun itu direman hingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas empat suspek bagi mengenal pasti pembabitan mereka dalam kes lain serta mengesan barang kes berkaitan," katanya.

Berita Harian X