KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di tempat pembuangan sampah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, petang semalam.
Mayat bayi itu ditemui berhampiran kawasan tempat letak kereta bertingkat di Flat Bandar Tun Razak jam 5.50 petang oleh seorang pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika mengambil sampah di bawah flat berhampiran.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat bayi itu.
"Mayat bayi malang ini kemudian dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras untuk bedah siasat.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881 atau hotline Polis KL di talian 03-21460584.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi," katanya.