Sabtu, 11 Disember 2021 | 9:38am
Polis menahan enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial. - Foto TULAR
Polis menahan enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial. - Foto TULAR

Kes buli, enam pelajar ditahan

IPOH: Polis menahan dua lagi suspek kes buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata penahanan dua suspek berusia 13 tahun itu menjadikan jumlah enam pelajar sudah ditahan setakat ini.

"Dua lagi pelajar ditahan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, malam tadi.

"Setakat ini, enam pelajar telah ditahan dan mereka masih berada dalam tahanan sehingga kini," katanya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan empat pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap seorang pelajar lain, sebelum video mengenainya tular di media sosial.

Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan, berkata empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan selepas selesai memberi keterangan di IPD Kuala Kangsar antara jam 6 petang hingga 7 malam tadi.

Kesemua mereka ditahan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli terbabit berlaku pada antara jam 1 hingga 2 pagi kelmarin, membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Berita Harian X