Ahad, 5 Disember 2021 | 12:56pm
Laporan BH Online semalam mengenai kejadian ugut bunuh membabitkan tukang masak dan seorang pekerja restoran di Cheras.
Laporan BH Online semalam mengenai kejadian ugut bunuh membabitkan tukang masak dan seorang pekerja restoran di Cheras.

Tukang masak ugut bunuh pekerja restoran direman

KUALA LUMPUR: Tukang masak yang didakwa menggugut bunuh seorang pekerja restoran di Taman Cheras, dekat sini, kelmarin selepas dikatakan berang dituduh membuang sampah dan air dari unit kediaman di atas premis itu, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik sewanya semalam dan semakan kemudian mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah.

"Suspek bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kaskas, Cheras. Ini kejadian pertama suspek berkelakuan begitu kerana dikatakan marah dituduh membuang sampah dan air dari atas restoran sedangkan itu bukan perbuatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, suspek yang tinggal di bilik itu sejak beberapa bulan lalu dengan sewa RM400 sebulan, tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil.

Semalam, media melaporkan, berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediaman sehingga terkena sebuah restoran di bawahnya, dipercayai punca seorang lelaki disyaki memarahi serta mengugut untuk membunuh pekerja restoran itu.

Dalam kejadian jam 7 pagi kelmarin, suspek didakwa mengugut sambil memegang pisau pemotong sayur. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X