Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:22pm

Ugut bunuh kerana berang ditegur

KUALA LUMPUR: Berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediaman sehingga mengenai sebuah restoran di bawahnya, dipercayai menjadi punca seorang lelaki disyaki memarahi serta mengugut untuk membunuh pekerja restoran itu di Taman Cheras, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, suspek didakwa mengugut pekerja lelaki itu sambil memegang pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan sering membuang sampah dan air dari tingkat unit kediaman yang disewanya.

"Polis juga sudah mengenal pasti seorang lelaki berusia 60 tahun dipercayai terbabit dalam video berkaitan yang tular melalui media sosial sejak petang tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berfikiran rasional dan tidak mengambil tindakan melulu sehingga menyusahkan pihak lain, serta jangan menyebarkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melalui talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2146 0584/585) atau mana-mana balai polis berdekatan, bagi membantu siasatan.

Berita Harian X