Isnin, 29 November 2021 | 6:56pm

Dadah RM8.09 juta dirampas

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar aktiviti memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah kedai dijadikan makmal mini di Puchong serta merampas dadah berjumlah RM8.09 juta, Isnin minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, makmal minin itu antara enam lokasi diserbu secara serentak termasuk di Gombak dalam operasi bersama dengan JSJN Selangor.

"Dalam serbuan di antara jam 12.10 tengah hari hingga jam 4.30 petang itu, 10 lelaki tempatan berumur lingkungan 22 hingga 42 tahun turun ditahan di enam lokasi terbabit.

"Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah heroin dan pil ecstasy di sekitar Lembah Klang.

"Hasil serbuan itu, polis merampas 19.7 kilogram (kg) dadah 'heroin base', 43.1 kg dadah heroin, 3.2 kg pil ecstasy dan 110 kg serbuk dadah MDMA dengan anggaran nilai RM8.09 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Razarudin berkata, siasatan mendapati bekalan dadah terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dipercayai dari dari kawasan Segi Tiga Emas.

Katanya, pihaknya turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM2.039 juta.

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita aset kumpulan sindiket itu membabitkan 10 kenderaan, barang kemas, saham, membekukan akaun dan wang tunai. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM10,129,237.55," katanya.

Beliau berkata, saringan awal mendapati, salah seorang dari suspek ditahan itu positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.

"Semakan rekod jenayah pula mendapati, lapan suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan suspek direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 November lalu bagi membantu siasatan," katanya.

Razarudin (dua kanan) menunjukkan barang dan dadah dirampas susulan serbuan makmal memproses dadah di Selangor. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Razarudin (dua kanan) menunjukkan barang dan dadah dirampas susulan serbuan makmal memproses dadah di Selangor. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Berita Harian X