Jumaat, 26 November 2021 | 3:02pm
Tiga lelaki dibawa ke Mahkamah Ipoh untuk perintah reman tujuh hari bermula hari ini. - Foto NSTP
Tiga lelaki dibawa ke Mahkamah Ipoh untuk perintah reman tujuh hari bermula hari ini. - Foto NSTP

Tiga bersaudara direman bantu siasatan kes bunuh

IPOH: Tiga bersaudara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang maut dipercayai akibat dicekik dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Sungai Senam di sini semalam.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek berusia antara 34 hingga 60 tahun itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh kira-kira jam 10.45 pagi diiringi polis.

Difahamkan lelaki pertama adalah seorang peniaga berusia 34 tahun, lelaki kedua adalah bapanya iaitu seorang pesara berusia 60 tahun, manakala lelaki ketiga pula seorang peniaga berusia 47 tahun yang juga saudara anak-beranak berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya menahan tiga individu bagi membolehkan siasatan berhubung kematian Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29.

Mangsa dipercayai dicekik ketika bergelut dengan suspek dalam pergaduhan yang berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana mangsa dituduh mencuri pembesar suara milik seorang daripada suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Muhammad Noor Faqih meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita Harian X