Isnin, 25 Oktober 2021 | 1:21pm
Keadaan kenderaan terbabit dalam kemalangan di simpang tiga Alor Gajah Lama, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
Keadaan kenderaan terbabit dalam kemalangan di simpang tiga Alor Gajah Lama, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Guru maut kereta dirempuh lori

ALOR GAJAH: Seorang guru wanita maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di simpang tiga Alor Gajah Lama, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, insiden kira-kira jam 6.30 pagi berlaku ketika mangsa, Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang, 54, dalam perjalanan untuk bertugas di sebuah sekolah menengah di Durian Tunggal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata mangsa yang cedera di bahagian kepala kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.

Ketika kejadian, beliau berkata, lori dipandu lelaki berusia 43 tahun dalam perjalanan dari arah Krubong ke Nyalas, Jasin, manakala mangsa dari Taman Nuri ke Durian Tunggal.

"Berdasarkan hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah simpang cuba membelok ke kanan.

"Lori tanpa muatan itu yang kebetulan melalui lokasi kejadian, dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kenderaan mangsa," katanya.

Susulan rempuhan itu, beliau berkata, kereta mangsa terseret sejauh lebih enam meter.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Alor Gajah, untuk bedah siasat.

"Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian dibawa balik ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke PUSPAKOM bagi tindakan lanjut," katanya.

Hasan Basri berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X