Sabtu, 16 Oktober 2021 | 2:28pm

Budak 3 tahun lemas jatuh dari rumah bot

KUALA BERANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarganya berakhir tragedi apabila dia ditemui lemas selepas terjatuh daripada sebuah rumah bot berhampiran air terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam tadi, mangsa, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman dilaporkan lemas selepas terjatuh daripada rumah bot yang disewa ahli keluarganya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian bapa mangsa, Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, 30, sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak, sebelum dimaklumkan anak bongsunya terjatuh ke dalam tasik itu.

Beliau berkata, kejadian menimpa mangsa disedari pekerja rumah bot berkenaan yang segera terjun untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

"Mangsa ditemui kira-kira 10 minit kemudian berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum diberi bantuan pernafasan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pengkalan Gawi, sebelum sekali lagi diberi bantuan pernafasan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun keadaannya masih sama.

"Pegawai perubatan yang tiba di jeti itu jam 10.48 malam mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, sebelum mayatnya di bawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Telaga Daing, Kuala Terengganu bersama ahli keluarganya berlepas dari Jeti Pengkalan Gawi untuk bermalam di Air Terjun Lasir, kira-kira jam 3 petang.

Terdahulu, Rohaimi melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Tasik Kenyir.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, terutama ibu bapa untuk memberi perhatian lebih kepada anak ketika berada di kawasan rekreasi terutama membabitkan air.

Berita Harian X