Selasa, 12 Oktober 2021 | 3:19pm
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memeriksa penunggang motosikal dalam operasi khas Op Merah di Seri Setia, Petaling Jaya. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memeriksa penunggang motosikal dalam operasi khas Op Merah di Seri Setia, Petaling Jaya. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

11 penunggang p-hailing di Selangor maut nahas

PETALING JAYA: Seramai 27 penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas dikesan terbabit pelbagai kesalahan.

Mereka ditahan dalam Operasi Merah (Op Merah) oleh JPJ Selangor yang mengadakan pemeriksaan di 12 lokasi sekitar negeri ini, bermula jam 9 pagi.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib, berkata antara kesalahan utama yang dikesan dilakukan oleh penunggang motosikal p-hailing adalah tidak mematuhi isyarat lampu merah.

"Berdasarkan pemeriksaan kita, sebahagian besar penunggang motosikal p-hailing bukan hanya melanggar isyarat lampu merah, malah menunggang melawan arus di jalan sehala selain melakukan kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar.

"Kita mengeluarkan notis saman kepada mereka yang melakukan kesalahan dan peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang media selepas meninjau Op Merah di Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.

Nazli berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, terdapat peningkatan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal p-hailing.

"Secara keseluruhan di Selangor sahaja, seramai 11 penunggang p-hailing meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun ini. Sehingga Ogos lalu, sebanyak 88 kes kemalangan dilapor membabitkan penunggang p-hailing, angka ini sangat merisaukan.

"Disebabkan itu, operasi dan program advokasi dijalankan," katanya memaklumkan Op Merah yang akan berakhir pada 7 November ini dilancarkan bagi tujuan penguatkuasaan dan advokasi kepada penunggang p-hailing.

Katanya, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah serta kepentingan menjaga kenderaan dengan betul.

Berita Harian X