Jumaat, 8 Oktober 2021 | 9:27am
Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, semalam.- Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, semalam.- Foto ihsan PDRM

Lelaki maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan

KULIM: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kulim-Baling, Ladang Bukit Salarong, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata dalam kejadian jam 6.30 petang itu mangsa dikenali sebagai, Muhamad Syafiq Sariff, 33 yang berasal dari Parit Buntar, Perak meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas kilang berusia 36 tahun yang datang dari Kulim Hi-Tech, hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu mangsa.

"Pelanggaran itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita berusia 24 tahun yang berada di belakang, tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kereta mangsa.

"Kereta dipandu mangsa berpusing dan melanggar pokok di bahu jalan. Akibat rempuhan kuat, kereta remuk teruk dan mangsa tersepit dan di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sazalee berkata, polis terpaksa meminta bantuan Bomba dan Penyelamat Kulim-Hitech untuk mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu bas kilang yang berasal dari Pelabuhan Klang dan pemandu wanita yang berasal dari Kilang Lama, di sini tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X