Ahad, 26 September 2021 | 3:04pm

Anggota tentera, bekas tunang didakwa cuba gugurkan janin

KOTA BHARU: Seorang anggota tentera dan bekas tunangnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan dengan niat menggugurkan janin berusia lima bulan, dua tahun lalu.

Tertuduh pertama, Dayang Nur Juliena Johari, 20, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, manakala tertuduh kedua, Muhamad Nasarudin Hashim, 26, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama telah menggunakan sebiji pil miferistone dengan niat hendak mengelakkan janin berusia lima bulan daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan janin mati selepas dilahirkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini, jam 11 malam, pada 22 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tempoh 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid, manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Fariz menawarkan, kedua-dua tertuduh diberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua tertuduh membuat rayuan supaya jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan bagi tertuduh wanita yang akan menyambung pelajaran, manakala tertuduh lelaki banyak komitmen kewangan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jaminan RM5,000 masing-masing setiap seorang dan menetapkan tarikh 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Dayang Nur Juliena Johari dan Muhamad Nasarudin Hashim didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan dengan niat bersama menggugurkan janin dua tahun lalu - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dayang Nur Juliena Johari dan Muhamad Nasarudin Hashim didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan dengan niat bersama menggugurkan janin dua tahun lalu - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X