Isnin, 20 September 2021 | 5:25pm
Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hadir untuk perbicaraan kes Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto FATHIL ASRI
Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hadir untuk perbicaraan kes Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto FATHIL ASRI

'RM6 juta sumbangan politik bukan rasuah' - peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa dua keping cek berjumlah RM6 juta yang diberi kepada Yayasan Akalbudi, milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid adalah sumbangan politik dan bukan suatu suapan.

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid menegaskan bahawa cek itu diterima daripada bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben dan diserahkan kepada Lewis & Co iaitu pemegang amanah bagi Yayasan Akalbudi.

"Wang berkenaan tidak diterima oleh anak guam saya, wang ini diterima oleh Lewis & Co.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh saksi pendakwaan ke-32 dan ke-34 iaitu pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB), Datuk Abu Hanifah Noordin dan Ben Ben, yang hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan menyatakan bahawa ia adalah sumbangan politik dan amal jariah," katanya.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan 15, Ahmad Zahid didakwa menerima dua suapan berjumlah RM6 juta daripada Ben Ben sebagai upah melantik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia, untuk Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mendengar perkara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mempersoalkan kemasukan wang itu kepada Yayasan Akalbudi.

Sequerah: Jika wang berkenaan adalah untuk sumbangan politik kenapa ia disalurkan kepada Yayasan Akalbudi?

Hamidi: Kami bertanya kepada saksi pendakwaan ke-32 adakah ia amal jariah?

Saksi menyatakan, "ya ia adalah amal jariah."

Sequerah: Bagaimana pemahaman anda, apabila beliau mengatakan ini adalah sumbangan politik tetapi pada masa ia juga adalah sumbangan kebajikan?

Hamidi: Menurut pemahaman beliau, kedua-dua perkataan itu adalah perkara yang sama.

SKSB milik Abu Hanifah dan isterinya Datin Ropi Riandani Dody Muchtar, yang menjalankan perniagaan pelaburan, adalah syarikat induk Datasonic Group Berhad (DGB) dan DTSB.

Sementara itu, Hamidi turut berhujah bahawa MyEG ada membuat kenyataan media kepada Bursa Malaysia menafikan bahawa syarikat itu membuat bayaran kepada mana-mana pihak ketika dalam proses untuk mendapatkan sebarang konsesi yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, MyEG turut menafikan bahawa syarikat itu mempunyai sebarang pengetahuan mengenai Mastoro Kenny IT Consultant & Services dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

"Pihak MyEG juga tidak pernah mempunyai sebarang kontak dengan wakil Mastoro dan tidak pernah diberikan sebarang projek atau berurusan dengan syarikat berkenaan.

MyEG menerusi kenyataan medianya turut memaklumkan pihaknya tidak pernah melantik sebarang vendor atau kontraktor untuk berurusan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan di akhir pendakwaan itu bersambung esok.

Berita Harian X