Isnin, 20 September 2021 | 1:04pm
Gambar hiasan. Polis memeriksa sijil vaksin setiap penumpang feri yang mahu memasuki Langkawi - Foto NSTP/Hamzah Osman
Gambar hiasan. Polis memeriksa sijil vaksin setiap penumpang feri yang mahu memasuki Langkawi - Foto NSTP/Hamzah Osman

Tempoh vaksin tak matang, dua wanita diarah patah balik

LANGKAWI: Polis mengarahkan dua pelancong wanita yang mahu masuk ke pulau peranginan ini berpatah balik ke Kuala Perlis, selepas mendapati suntikan dos vaksin COVID-19 mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.

Wanita berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan terbabit ketika pemeriksaan polis dibuat ke atas semua penumpang yang baharu tiba di Terminal Feri Kuah pada jam 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kedua-dua wanita itu dilaporkan menaiki feri sama dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti ke Langkawi.

"Pemeriksaan anggota polis yang bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati kedua-dua penumpang terbabit telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

"Bagaimanapun, kita mendapati tempoh matang suntikan dos kedua yang diterima mereka belum mencapai tempoh 14 hari seperti ditetapkan, iaitu kurang tiga hari," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, berikutan itu kedua-dua wanita terbabit dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi melakukan pengesahan status vaksin mereka.

"Susulan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada jam 2 petang semalam," katanya.

Mengulas mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, Shariman berkata, pihaknya belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas pelancong kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga hari ini.

"Bagaimanapun, adalah diingatkan semua pelancong yang ingin masuk dan ketika berada di Langkawi dinasihat agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil," katanya.

Berita Harian X