Isnin, 20 September 2021 | 12:24pm
Ayob Khan menunjukkan barang kes dadah yang dilupuskan. FOTO NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI
Ayob Khan menunjukkan barang kes dadah yang dilupuskan. FOTO NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI

Polis Johor lupus dadah RM28.91 juta

JOHOR BAHRU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM28.91 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dadah yang dilupuskan itu seberat 1,765 kilogram (kg) dan sebanyak 3,717 liter.

"Kesemua barang kes berkenaan dihantar ke Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah insinerator," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, sejak 1 Januari hingga 13 September lalu, JSJN Johor menahan seramai 9,313 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam merampas 10.91 tan dadah.

"Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM352.44 juta. turut disita adalah harta bernilai RM27.86 juta," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, JSJN Johor melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 877.40 kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta manakala 3,844 kes dadah diselesaikan.

"Tahun lalu, seramai 18,837 individu ditahan terbabit kes dadah dan daripada jumlah itu, 8,390 orang ditangkap kerana memiliki dan membekal dadah," katanya.

"Peratusan pertuduhan kes juga meningkat iaitu bagi tahun 2020, 51 peratus individu dituduh dan 70 peratus daripadanya membabitkan 16 sindiket," katanya

Beliau berkata, sejumlah 17,535 kes kesalahan dadah turut diselesaikan bagi tempoh antara tahun 2000 hingga tahun lalu.

Berita Harian X