Selasa, 14 September 2021 | 8:33pm

Penyampaian ganti serah saman AS$3.783 bilion kepada Jho Low, 5 individu

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah penyampaian ganti bagi menyerahkan writ saman AS$3.783 bilion kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarga dan rakan sekutunya.

Peguam K Siva Kumar yang mewakili 1MDB, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini minggu ini, berikutan writ saman masih belum dapat diserahkan kepada semua defendan secara peribadi kerana mereka tidak berada di alamat terakhir masing-masing.

"Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 6 Oktober ini," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Afidah Idris, hari ini.

Penyampaian ganti adalah untuk menyampaikan dokumen dalam litigasi awam sama ada dalam bentuk surat, iklan atau sebarang kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian pihak defendan disebabkan penyampaian dokumen secara peribadi tidak dapat dilakukan.

Pada 7 Mei lalu, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low; ayah dan ibunya, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakaknya May Lin; adik lelakinya, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta serta AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Eric Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Penyataan tuntutan plaintif mendakwa mereka dimanipulasi sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low untuk memfasilitasikan penipuan berskala besar serta berjangka panjang, menyebabkan berbilion-bilion ringgit dilesapkan.

"Ketika melaksanakan penipuan itu, pelbagai pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari dilakukan Najib, ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan plaintif.

"Dana dan aset semua plaintif yang sudah dipindah kepada defendan dilesapkan dengan pengetahuan semua defendan secara pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari," kata penyataan tuntutan itu.

Plaintif mendakwa, Najib menyalahgunakan kuasa dan kedudukan beliau untuk melindungi dirinya serta menyembunyikan penipuan terhadap mereka, antara lain bagi menghalang usaha menyiasat dan membongkar bukti berkaitan penipuan serta salah laku terhadap plaintif di Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X