Isnin, 9 Ogos 2021 | 4:54pm
Dr Mahathir melambai kepada media sebelum memasuki Kompleks YKP Putrajaya untuk memberi keterangan kepada polis berhubung perarakan Ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Dr Mahathir melambai kepada media sebelum memasuki Kompleks YKP Putrajaya untuk memberi keterangan kepada polis berhubung perarakan Ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Dr Mahathir, Mukhriz beri keterangan

PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selesai memberikan keterangan kepada polis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Keterangan kedua-dua mereka selesai diambil kira-kira satu jam setengah oleh empat pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung perarakan Ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Terdahulu, dua kenderaan yang membawa anggota polis itu tiba jam 1.54 petang dan terus memasuki perkarangan YKP.

Tepat jam 2.03 petang, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya turut dilihat masuki YKP disusuli Mukhriz jam 2.07 petang.

Kereta jenis Lexus berwarna hitam membawa Mahathir kemudiannya dilihat memasuki perkarangan YKP pada jam 2.16 petang.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu); Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena);

Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Gobind Singh Deo (Puchong).

Sementara itu, peguam Dr Mahathir dan Mukhriz, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan Pengerusi PEJUANG dan Mukhriz akan disiasat mengikut peruntukan dua akta.

"Pada hari ini antara jam 2.45 hingga 3.30 petang, empat orang pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman hadir di YKP, berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

"Ketika sesi memberikan keterangan kepada pihak polis itu, mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X