Sabtu, 17 Julai 2021 | 6:24pm

Polis kompaun 3 individu anjur perhimpunan Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti tiga individu yang juga penganjur perhimpunan membabitkan 20 individu di Dataran Merdeka, petang tadi dan mereka terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dikenakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata

tindakan kompaun dikenakan atas kesalahan pelanggaran Perkara 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu larangan berhimpun.

Beliau berkata, siasatan kes itu juga dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Katanya, 20 individu yang berkumpul di Dataran Merdeka untuk menyertai perhimpunan 'Kerajaan Gagal' sebelum itu diarahkan bersurai dan beredar.

"Polis mengesan sekumpulan individu di padang Dataran Merdeka dengan membawa bendera, kain rentang dan lima patung menyerupai jenazah dikafan, kira-kira jam 2.55 petang tadi.

"Lima minit kemudian, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi diketuai Superintendan Nasron Abdul Yusoff bersama Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiba di lokasi dan mengarahkan kumpulan itu bersurai dalam tempoh 10 minit.

"Mereka mematuhinya tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan polis sudah mengenal pasti tiga individu penganjur untuk dikenakan kompaun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, semakan mendapati himpunan itu dianjurkan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) iaitu gabungan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.

Katanya, ketika perhimpunan berlangsung, peserta sempat mengadakan kempen 'Puisi Darurat' bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa gagal menangani COVID-19.

 Polis menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka yang membawa bendera, kain rentang dan lima patung menyerupai jenazah dikafan, petang tadi. - NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Polis menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka yang membawa bendera, kain rentang dan lima patung menyerupai jenazah dikafan, petang tadi. - NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Berita Harian X