Rabu, 7 April 2021 | 8:16pm
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi sambung bicara kes saman terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi sambung bicara kes saman terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto BERNAMA

Mohamed Apandi menangis ketika beri keterangan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Apandi Ali gagal mengawal perasaan dan menangis ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Babak penuh emosi itu berlaku ketika Mohamed Apandi menjawab soalan peguamnya, M.Visvanathan pada hari ketiga perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Azimah Omar berhubung tempoh beliau menyandang jawatan Peguam Negara dari 2015 hingga 2018.

Soalan itu berkisar mengenai artikel berita asing berhubung skandal tersebut yang dibangkitkan peguam Kit Siang semalam dan Mohamed Apandi berkata, ia adalah laporan berita The New York Times dan ditulis sejurus selepas sidang akhbarnya pada 26 Januari 2016.

Sebagai Peguam Negara, Mohamed Apandi memikul dua tanggungjawab iaitu sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan pendakwa raya, jadi beliau tidak mempunyai masa untuk membaca akhbar tempatan atau luar negara.

"Sebagai pendakwa raya, terdapat beribu-ribu kertas siasatan di seluruh negara yang perlu saya teliti sebelum diagihkan kepada pegawai di negeri terbabit kecuali kes berprofil tinggi, saya begitu sibuk. Saya juga tidak dapat mengambil cuti kerana ini bukan satu tugas yang mudah. Ia sememangnya satu tanggungjawab yang amat berat dan telah menyebabkan kesihatan saya terjejas.

"Saya kini menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) disebabkan tekanan," katanya.

Mohamed Apandi berkata, beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada usia 65 tahun dan tidak memiliki jumlah tahun perkhidmatan yang mencukupi untuk menerima pencen penuh.

"Itulah pengorbanan yang saya lakukan apabila saya diberi tugas sebagai Peguam Negara dan jawatan berkenaan bukan jawatan yang berpencen. Ia adalah jawatan kontrak.

"Terima kasih kerana membenarkan saya meluahkan semua ini. Saya pendam perkara ini, orang ramai mengutuk saya. Saya minta maaf, saya tak dapat teruskan," katanya dengan air mata bercucuran sambil ditenangkan peguamnya.

Mohamed Apandi juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak pernah meminta atau melobi untuk menjadi Peguam Negara.

"Ketika itu saya berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tidak sabar untuk bersara apabila secara tiba-tiba saya dilantik sebagai Peguam Negara," katanya.

Mahkamah kemudian berehat selama sejam sebelum Mohamed Apandi meneruskan keterangannya.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi menyaman Kit Siang dan dalam penyataan tuntutan mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia's on the road to integrity' dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi, yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA

Berita Harian X