Isnin, 8 March 2021 | 3:45pm
Tong air yang digunakan suspek untuk meletak mayat isterinya selepas menembak mangsa dengan senapang angin, di Badar Penawar. - Foto NSTP
Tong air yang digunakan suspek untuk meletak mayat isterinya selepas menembak mangsa dengan senapang angin, di Badar Penawar. - Foto NSTP

Jenazah belum dituntut keluarga

JOHOR BAHRU: Jenazah isteri yang dipercayai ditembak suami menggunakan senapang angin, masih belum dituntut keluarga mahu pun waris terdekat Allahyarhamah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad, berkata ia berikutan keluarga mahu pengesahan identiti dibuat dahulu sebelum mereka menuntut jenazah berkenaan.

"Jenazah masih berada di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan belum dituntut kerana keluarga mahu identiti jenazah disahkan dahulu.

"Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa sudah diambil semalam dan ia akan mengambil masa sebelum keputusan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, pagi kelmarin.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Berita Harian X