Khamis, 4 March 2021 | 1:51pm
TULANG dan tengkorak yang ditemui di tepi Sungai Muar, Kampung Tanjung Olak. - Foto ihsan Polis
TULANG dan tengkorak yang ditemui di tepi Sungai Muar, Kampung Tanjung Olak. - Foto ihsan Polis

Pekebun temui tengkorak, tulang dalam semak

TANGKAK: Pekebun sawit menemui tengkorak dan beberapa tulang manusia di tepi Sungai Muar, Kampung Tanjung Olak di Bukit Gambir, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis menerima panggilan daripada orang awam mendakwa menemui tulang dipercayai milik manusia di kawasan berkenaan jam 7 malam.

Saksi mendakwa menyedari tengkorak dan tulang berkenaan ketika menebas rumput bagi membersihkan kebun sawitnya, selain terhidu bau busuk sebelum melaporkan kepada polis.

"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) menjumpai tengkorak manusia serta beberapa tulang dalam semak sekitar Sungai Muar itu tanpa sebarang identiti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fadhil berkata, setakat ini tiada saksi tampil bagi memberi keterangan mengenai penemuan itu.

"Semua tengkorak dan tulang itu diserah kepada Jabatan Forensik Hospital Tangkak bagi dianalisa.

"Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan masih diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi IPD Tangkak di talian 06-9781222 atau balai polis berhampiran.

Berita Harian X