BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang
merampas 5,411 unit kayu dari Denmark yang cuba dibawa masuk pengimport ke negara ini, di sini, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini kira-kira jam 2 petang, terdapat dua kontena memasuki pelabuhan berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut diadakan.
Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata hasil pemeriksaan ke atas dua kontena itu mendapati terdapat muatan mengandungi kayu jenis white oak kira-kira 61 tan yang dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import yang sah.
"Berikutan itu, kesemua kayu dari Denmark yang dianggarkan bernilai RM251,845.23 dirampas bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].