Jumaat, 26 Februari 2021 | 11:48pm
Bob Mah Sing yang diburu polis. - Foto ihsan polis
Bob Mah Sing yang diburu polis. - Foto ihsan polis

Polis buru 'Bob Mah Sing' kes rempuh kenderaan elak ditahan

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lagi suspek dikenali Bob Mah Sing dalam kejadian Proton Waja merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercayai berasal dari Subang.

Beliau berkata, rakan suspek yang juga pemandu kereta berusia 35 tahun sudah ditahan polis di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam.

"Pada jam 12.45 tengah hari tadi, polis menerima maklumat anggota kereta peronda mengejar Proton Waja bernombor pendaftaran MAS 175 yang enggan bekerjasama untuk diperiksa polis di Kampung Desa Aman menghala Bulatan Sierramas.

"Ketika di lampu isyarat itu, polis mengarahkan dua suspek keluar dari kereta, namun tidak diendahkan malah bertindak merempuh kenderaan di hadapan, belakang dan kanan untuk meloloskan diri.

"Kereta dinaiki suspek juga cuba merempuh kereta peronda polis hingga memaksa seorang anggota melepaskan tembakan di kedua-dua tayar hadapan Proton Waja itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Nik Ezanee berkata, suspek berjaya melarikan diri dengan memecut kereta ke arah Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh, sebelum meninggalkan kereta itu di tepi jalan akibat kebocoran tayar.

"Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) menemui dan merampas plastik lut sinar, dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dalam kereta ditinggalkan suspek.

"Pemandu kereta itu ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi kenderaan terbabit ditinggalkan dan semakan mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929448.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Berita Harian X