Jumaat, 26 Februari 2021 | 1:07pm

Pegawai, anggota polis ditahan dalam serbuan dadah

IPOH: Seorang pegawai dan lima anggota polis antara 14 individu ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di sini hari awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata serbuan pada jam 1.30 pagi dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Dalam serbuan berkenaan kita menahan pegawai dan anggota berkenaan dari Polis Kontinjen Perak, lima perempuan warga tempatan dan tiga perempuan warganegara Indonesia yang anggaran berusia 20 hingga 40-an.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati satu pegawai dan empat anggota positif dadah, satu anggota negatif dadah, manakala lima perempuan tempatan dan dua perempuan warganegara Indonesia positif dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, bagaimanapun polis tidak menemui dadah dalam serbuan itu.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita sudah memberi amaran kepada pegawai dan anggota sebelum ini, kita tiada kompromi jika ada dalam kalangan polis yang terbabit dengan kegiatan dadah ini tidak kira sama ada pengedaran atau menyalahgunakan dadah dan sebagainya, kita akan mengambil tindakan sama seperti terhadap orang awam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada Rabu lalu, JSJN Kontinjen Perak turut melancarkan dua serbuan di sekitar Taiping dan Ipoh dan berjaya membongkar dan menangkap sindiket pengedaran dadah jenis heroin.

"Kes pertama di Taiping, pada jam kira-kira 1 pagi, sepasukan pegawai dan anggota membuat pemerhatian dan seterusnya melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Kampung Baru, Kamunting, Taiping.

"Dalam serbuan itu polis berjaya menangkap dua lelaki berusia 26 dan 35 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berkenaan polis menjumpai 110 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 240 gram dan dadah jenis syabu seberat 6.77 gram dengan nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM9,077.

"Polis turut menyita harta suspek iaitu sebuah kereta dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan penyitaan harta terhadap suspek RM33,000," katanya.

Sementara itu, pada hari yang sama pada jam 4 petang polis menyerbu di kawasan Lapangan Symphony Business Park di Ipoh di sini dan menahan sebuah motosikal jenis Honda Wave ditunggang oleh seorang lelaki berusia 40 tahun.

"Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan menemui sepuluh paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin anggaran berat 4,490 gram dengan nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM 157,500," katanya.

Pada kira-kira jam 9.45 pagi keesokan harinya pula seorang nelayan membuat laporan polis kerana menjumpai satu guni yang mana 17 bungkusan plastik mengandungi Methamphetamine seberat 17.5 kilogram, terapung di laut perairan Pangkor.

"Nelayan berkenaan menghubungi polis dan menyerahkan guni itu kepada pihak polis. Hasil pemeriksaan polis di dalam guni terbabit mendapati 20 bungkusan plastik serbuk teh warna hijau.

"Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM 700,000. Tiada tangkapan dibuat bagi kes itu," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari mulai 25 Februari sehingga 3 Mac ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandotori sampai mati," katanya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X