Rabu, 24 Februari 2021 | 11:38am
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memeriksa permit rentas daerah penumpang feri ketika mengetuai Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Permit Rentas Daerah di Jeti Kuah, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Enam penumpang dilarang naik feri

LANGKAWI: Enam penumpang dilarang menaiki feri selepas gagal menunjukkan surat kebenaran rentas daerah ketika pemeriksaan di Terminal Feri Kuah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, enam penumpang termasuk empat sekeluarga terbabit cuba menaiki feri penumpang bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata pemeriksaan dilakukan anggotanya turut mendapati alasan yang diberi mereka juga tidak munasabah.

Katanya, antara alasan diberi adalah surat kebenaran tertinggal di dalam kereta yang diletak di Kuala Kedah ketika datang ke Langkawi.

"Berikutan itu, semua penumpang dewasa berkenaan tidak dibenarkan menaki feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah kerana didapati tidak memohon surat kebenaran.

"Malah, mereka tidak cuba mendapat surat kebenaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk balik semula ke Kuala Kedah," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Shariman mengetuai Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan Permit Rentas Daerah bersama anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Terminal Feri Kuah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari (berdiri paling kiri) memeriksa pemakaian pelitup muka oleh penumpang feri yang mahu berlepas ke Kuala Kedah di Jeti Kuah, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Shariman berkata, semua penumpang yang dikesan melanggar SOP kemudian diarah berpatah balik dan menguruskan dokumen diperlukan terlebih dahulu.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati ada beberapa penumpang feri tidak memakai pelitup muka dengan betul dan mereka diberi nasihat serta-merta.

"Walaupun Kedah kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan termasuk menjaga jarak dan memakai pelitup muka.

"Tindakan tegas termasuk kompaun boleh dikenakan ke atas mana-mana individu didapati melanggar perintah ini," katanya.

Berita Harian X