Selasa, 23 Februari 2021 | 4:26pm

Tukang masak maut kereta rempuh kedai makan

KAMPAR: Seorang tukang masak wanita maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas masuk ke dalam sebuah kedai di Jalan Batu Sinar di sini hari ini.

Mangsa, Wong Kwai Yung, 59, yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi tukang masak wanita lagi cedera ringan selepas dilanggar oleh kenderaan dipandu oleh seorang lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) kudung kaki kanan.

Ketika kejadian, Kwai Yung dan seorang rakan sedang memasak di kedai bahagian kaki lima.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 10.17 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Saga berkenaan dipercayai terbabas dan merempuh kedai makan berkenaan dan melanggar pekerjanya.

"Siasatan mendapati pemandu kenderaan ketika itu sedang masuk ke parkir hadapan kedai untuk membeli makanan di restoran berkenaan.

"Pemandu tiba-tiba terpijak pedal minyak lalu kenderaan bergerak ke hadapan dan merempuh dua pekerja kedai makan berkenaan yang sedang memasak di gerai kaki lima hadapan kedai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

"Pemandu dan penumpang di dalam kenderaan tidak cedera," katanya.

"Kes disiasat mengikut Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X