Khamis, 18 Februari 2021 | 12:45pm

Penganggur didakwa pandu ketika mabuk, akibatkan kematian polis

KLUANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian anggota polis berpangkat Lans Koperal pada Jumaat lalu.

T Yogarajah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu dalam keadaan begitu banyak alkohol di dalam badan sehingga kadarnya dalam nafas mencapai bacaan (134 miligram/100 mililiter) yang melebihi had ditetapkan.

Tertuduh dari arah Kluang menghala ke Renggam didakwa telah memasuki laluan motosikal ditunggang Lans Koperal Bradford Bernard, 28, sehingga menyebabkan kematian di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah, jam 10.57 malam Jumaat lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan penjara antara 10 hingga 15 tahun jika sabit kesalahan, serta lesen memandu digantung sementara kes dibicarakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zahida Muhammad Ruzi memohon supaya tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Mahkamah kemudian memberi peluang kepada tertuduh untuk merayu jaminan, namun tertuduh memaklumkan tidak mampu membayarnya.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan selepas tiada bantahan daripada tertuduh, dan menasihati tertuduh supaya mendapatkan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan tarikh 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Yogarajah didakwa di Mahkamah Majistret di Klung, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Yogarajah didakwa di Mahkamah Majistret di Klung, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Berita Harian X