Selasa, 9 Februari 2021 | 3:08pm
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 45 tan sotong sejuk beku bernilai lebih RM1 juta dari China ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). NSTP/ Ihsan MAQIS
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 45 tan sotong sejuk beku bernilai lebih RM1 juta dari China ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). NSTP/ Ihsan MAQIS

45 tan sotong sejuk beku bernilai lebih RM1 juta dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 45 tan sotong sejuk beku bernilai lebih RM1 juta dari China ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, terdapat dua kontena yang baru masuk ke pelabuhan berkenaan sebelum pemeriksaan diadakan.

Katanya, siasatan mendapati produk sotong sejuk beku itu tidak mempunyai permit import yang sah.

"Berikutan itu, sebanyak 4,500 kotak berisi produk sotong sejuk beku seberat 45,000 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta dirampas bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zarina berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, mengikut seksyen itu, sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata MAQIS komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat negara ini.

Berita Harian X