Selasa, 2 Februari 2021 | 12:48pm
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, berdepan tuduhan rasuah RM2.8 juta. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama isteri, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, berdepan tuduhan rasuah RM2.8 juta. - Foto fail NSTP

Saksi tak sihat, bicara Bung Moktar tangguh

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, ditangguhkan kerana saksi ke-11 pendakwaan tidak sihat.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Zizie Izette ketika ditemui media, memberitahu perbicaraan hari ini seharusnya disambung dengan mendengar keterangan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Azriman Ridouan, 44.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan saksi hari ini tidak sihat.

"Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan perbicaraan bersambung esok hingga Jumaat ini," katanya.

Bung Moktar, 61 didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM2.2 juta, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM262,500, daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Zizie Izette pula didakwa tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama.

Berita Harian X