Khamis, 21 Januari 2021 | 4:19pm
MAQIS Pulau Pinang rampas 3,600 paket palet kayu pine dari China ketika di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). - foto ihsan MAQIS
MAQIS Pulau Pinang rampas 3,600 paket palet kayu pine dari China ketika di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT). - foto ihsan MAQIS

3,600 paket palet kayu pine untuk anjing, kucing dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 3,600 paket palet kayu pine dari China ketika mengadakan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan jam 5 petang itu, sepasukan penguat kuasa MAQIS memeriksa dua kontena yang baharu masuk ke pelabuhan berkenaan.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata siasatan mendapati produk kayu berkenaan untuk kegunaan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing.

"Semakan lanjut mendapati barangan berkenaan dibawa masuk tanpa mempunyai permit import yang sah.

"Oleh itu ia menjadi satu kesalahan dan menyebabkan 3,600 paket produk kayu seberat 36,000 kilogram (kg) bernilai RM63,378.79 dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pengimportan kayu tanpa permit import yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X