Selasa, 19 Januari 2021 | 9:35pm

Peragut berparang ditahan selepas lapan jam buat jenayah

KUALA LANGAT : Seorang peragut ditahan polis selepas lapan jam meragut seorang guru wanita bersenjatakan parang di kawasan rumah kedai dua tingkat di Eco Sunctuary, Telok Panglima Garang, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata suspek seorang lelaki tempatan yang berumur 26 tahun itu ditangkap di Kampung Sijangkang kira-kira jam 4 petang tadi.

"Tangkapan dibuat susulan maklumat dari orang awam yang menghubungi polis dan menghantar video dari rakaman kamera litar tertutup (cctv) di situ.

"Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan, rondaan, kemudian mengesan serta menangkap suspek di Kampung Sijangkang petang tadi," katanya ketika dihubungi.

Azizan berkata, ketika tangkapan dibuat, polis hanya menemui sebahagian sahaja barang mangsa yang diragut.

"Beg tangan mangsa dipercayai dibuang, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi tadi, mangsa Lee Yoke Keat, 51 tahun, didatangi suspek ketika berada di tempat letak kereta tidak jauh dari tempat kerjanya di sebuah taska antarabangsa di situ.

"Menurut mangsa, sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tidak dikenali datang ke arahnya dan mengacukan parang.

"Suspek menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum meragut beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai.

"Ketika kejadian, mangsa baru selesai meletakkan keretanya di kawasan parkir berhadapan bangunan kedai terbabit dan berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya," katanya.

Beliau berkata, polis ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati, terdapat pengawasan CCTV di tempat kejadian.

"Menerusi rakaman CCTV berkenaan, polis mendapati suspek warga tempatan seorang diri menaiki sebuah motosikal menggunakan sebilah parang ketika melakukan ragut," katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada bahagian kepala, lebam di lengan dan lutut serta sakit di bahagian atas peha dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan rawatan lanjut.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video mengenai kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan situasi guru terbabit menjerit meminta bantuan serta cuba melarikan diri dari suspek.

Rakaman CCTV yang tular seorang guru wanita diragut seorang lelaki bersenjatakan parang pagi tadi - Foto NSTP
Rakaman CCTV yang tular seorang guru wanita diragut seorang lelaki bersenjatakan parang pagi tadi - Foto NSTP
Berita Harian X