Jumaat, 15 Januari 2021 | 9:18am
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, merampas sejumlah 86,500 kilogram (kg) bawang merah serta kuning dari China dan Pakistan. -Foto NSTP/IHhsan MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, merampas sejumlah 86,500 kilogram (kg) bawang merah serta kuning dari China dan Pakistan. -Foto NSTP/IHhsan MAQIS

Dua kontena bawang dari China, Pakistan dirampas

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor,

mematahkan cubaan membawa masuk dua kontena bawang merah serta bawang kuning dari China dan Pakistan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, di sini, Selasa lalu.

Pengarah MAQIS, Dr Tarmisal Alimin, berkata dalam pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa MAQIS , merampas sejumlah 86,500 kilogram (kg) bawang merah dan kuning kerana gagal mematuhi Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) ditetapkan.

"Kedua-dua kontena itu mengandungi 86,500 kg bawang merah dan kuning yang dianggarkan bernilai RM179,822.85.

"Barang dagangan (bawang merah dan kuning) dirampas kerana tidak mematuhi syarat sepertimana yang dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, kegagalan mengemukakan maklumat itu adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama," katanya.

Katanya, MAQIS mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

Berita Harian X