Isnin, 11 Januari 2021 | 5:31pm
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad hadir pada sambung bicara kes rasuah di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta. - Foto Aswadi Alias
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad hadir pada sambung bicara kes rasuah di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta. - Foto Aswadi Alias

FELCRA keluar surat pindahkan RM150 juta - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kewangan Unit Pelaburan FELCRA memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, surat pindahan wang RM150 juta bagi pelaburan Public Mutual ditandatangani oleh Pengurus Besar Kumpulan Kewangan dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad

Saksi kesembilan pendakwaan, Esah Abas, 62, berkata ada menerima salinan surat daripada Pengurus Kanan Kawalan Kredit, Azriman Ridouan, pada 18 Mei 2015 untuk menyediakan baucar bagi pembayaran Public Mutual Berhad kepada Affin Islamic Bank Berhad.

Esah dalam pernyataan saksinya, berkata surat itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Kumpulan Kewangan, Azmy Abu Samah dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Fattah Abdullah.

Bagaimanapun, ketika disoal peguam Datuk K Kumaraendran sama ada unit pelaburan itu menyalahi prosedur kewangan, Esah menjawab: "Tidak"

Kumaraendran: Bolehkan FELCRA membuat pelaburan itu?

Esah: Ketika itu boleh, sebab ada duit.

Kumaraendran: Adakah Datuk Fattah tahu mengenai bayaran kepada Public Mutual?

Esah: Saya rasa dia tahu kerana dia menandatangani surat berkenaan. Tanpa surat itu, saya tidak boleh sediakan baucar," katanya.

Esah turut memberitahu mahkamah. kelulusan pembayaran dibuat oleh pihak atasan dan beliau tidak terbabit dalam perkara itu.

Kumaraendran: Kelulusan bayaran daripada siapa?

Esah: Tidak tahu siapa.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad yang menghadapi tuduhan rasuah.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria, Abdul Rashid Sulaiman dan Maziah Mohaide.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie Izette.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Zizie Izette didakwa tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

Berita Harian X