Jumaat, 8 Januari 2021 | 9:59pm
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam Proton Wira yang dirempuh Proton Satria di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai petang tadi. Gambar ihsan bomba
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam Proton Wira yang dirempuh Proton Satria di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai petang tadi. Gambar ihsan bomba

Dua maut, tiga parah dua kereta bertembung di Gua Musang

Oleh Ramli Ibrahim

bhnews@bh.com.my

GUA MUSANG: Dua maut dan tiga parah apabila dua kereta bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, di sini, petang tadi.

Mangsa yang maut, pemandu Proton Wira, Mohammad Zani Zakaria, 32 dan penumpang belakang kereta itu, Alia Azizan Mohd Razali, 21.

Alia Azizan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala Mohammad Zani pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) kerana cedera di kepala.

Dua mangsa yang maut tinggal di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Limau Kasturi.

Mangsa yang parah adalah penumpang depan Proton Wira, Atiha Adila Mohd Razali, 26, dan pemandu kereta Proton Satria, Mohamad Baharudin Mohamed, 28, serta penumpangnya, Muhammad Fahmi Ab Malek, 32.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 5.15 petang ketika hujan lebat.

Katanya, kereta Proton Satria dinaiki Mohamad Baharudin dan Muhammad Fahmi yang datang dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

Berikutan itu, kata beliau, kereta berkenaan bertembung dengan kereta dipandu Mohammad Zani yang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Wira dinaiki tiga mangsa terbalik dalam longkang dan seorang tersepit di tempat duduk.

"Sepasukan anggota bomba di panggil bagi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta yang berkeadaan remuk teruk," katanya.

Choon Foo berkata, tiga mangsa yang cedera menerima rawatan di HGM dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Mayat mangsa dihantar ke bilik forensik HGM untuk bedah disiasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Satria memandu secara melulu dan kes sedang disiasat dibawah Sek. 41(1) APJ 1987.

Berita Harian X