Khamis, 7 Januari 2021 | 3:34pm
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas selepas tertangkapnya Geng Pali. - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim (kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas selepas tertangkapnya Geng Pali. - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Geng Pali aktif curi kenderaan tumpas

KULIM: Geng Pali yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan di daerah ini sejak November lalu, tumpas apabila tiga suspek berjaya ditahan dalam serbuan dilakukan polis, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam serbuan dilakukan pasukan Operasi D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, berjaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun yang berkait dengan kes curi sebuah kereta Honda Civic.

"Dalam serbuan itu, polis merampas kereta yang dicuri itu. Hasil soal siasat terhadap dua suspek berkenaan, pihak kami berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 23 tahun di sekitar kawasan Kulim untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPD Kulim, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, terdapat lebih 10 kes curi kenderaan yang dipercayai membabitkan ahli kumpulan ini.

"Suspek juga dipercayai terbabit dalam lima kes samun menggunakan senjata pisau di sekitar Kulim, Lunas dan Padang Serai. Kumpulan ini menggunakan hasil aktiviti jenayah mereka untuk membeli bekalan dadah jenis syabu," katanya.

Beliau berkata, kes curi kenderaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana perbuatan mencuri kenderaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan.

"Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 10 Januari untuk membantu siasatan. Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan bergerak secara kumpulan pada lewat malam dan akan mensasarkan kereta yang diletakkan di kawasan luar pagar rumah untuk dicuri," katanya.

Azhar berkata, semua kereta yang dicuri pula akan digunakan sebagai pengangkutan untuk melakukan samun jalanan dengan mensasarkan individu yang sedang berjalan atau yang berkenderaan secara sendirian.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan dua kereta jenis Honda Civic untuk membantu siasatan.

"Ketua kumpulan ini yang dikenali sebagai Pali mempunyai 25 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah curi kenderaan, samun, pecah rumah dan dadah," katanya.

Azhar berkata, kesemua anggota Geng Pali tidak mempunyai pekerjaan dan masing-masing mempunyai rekod lampau.

Berita Harian X