Isnin, 4 Januari 2021 | 10:20am
Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan seorang mekanik motosikal di Kilometer 15.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) pada 16 November lalu untuk tampil membantu siasatan. NSTP/IHSAN POLIS
Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan seorang mekanik motosikal di Kilometer 15.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) pada 16 November lalu untuk tampil membantu siasatan. NSTP/IHSAN POLIS

Polis cari saksi kemalangan maut LDP

PETALING JAYA: Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan seorang mekanik motosikal di Kilometer 15.5 Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) pada 16 November lalu untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.17 petang itu, mangsa berusia 19 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal Honda FS150 ditunggangnya dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di tengah lebuh raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Rawang dan bekerja di sebuah bengkel motosikal di Sungai Way di sini, dalam perjalanan ke Damansara.

"Motosikal mangsa berada di lorong paling kanan laluan berselekoh di situ dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di tengah lebuh raya.

"Mangsa jatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan yang dialaminya dan ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kemalangan, justeru memohon bantuan saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan.

"Saksi boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X