Rabu, 23 Disember 2020 | 12:05pm
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor menahan dan merampas produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea. NSTP/IHSAN MAQIS
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor menahan dan merampas produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea. NSTP/IHSAN MAQIS

Produk makanan berasaskan babi dari Korea dirampas

PELABUHAN KLANG: Sejumlah 354.96 kilogram produk makanan sedia dimakan berasaskan daging babi dari Korea bernilai RM9,403.29 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor, Ahad lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin, berkata produk tanpa permit import MAQIS yang sah itu dirampas di Pelabuhan Klang Utara, di sini kira-kira jam 10 pagi.

"Kesemua barang dagangan itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak

mempunyai permit import yang sah ketika kemasukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X