Isnin, 21 Disember 2020 | 2:03pm
Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Datuk cabul cucu tiri dipenjara 8 tahun, 4 sebatan

KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap cucu tirinya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 59 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang berusia lapan tahun di pondok rehat di sebuah taman permainan di Dungun, jam 4 petang pada pertengahan Oktober lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Dungun, jam 4 petang pada 4 November lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Nooriah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 7 November lalu.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X